Ibu-bapa merupakan insan yang paling
mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya
menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan
yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu
besar dan tinggi nilainya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari
nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup
mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai
cabaran untuk masa depan anak-anak.
Marilah kita merenung kembali semasa kita
kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu-bapa kita, merekalah
yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita,
memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan
kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar
kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di
kemudian hari.
Mungkin ada antara kita pada ketika ini
ibu-bapanya telah pergi buat selama-lamanya, kita mendoakan roh-roh
mereka ini ditempatkan dikalangan suhada dan solihin. Sekiranya ibu-bapa
kita masih bersama dengan kita di dunia ini, marilah sama-sama kita
mengingati mereka, mungkin pada ketika ini ibu-bapa kita berada jauh di
kampung sana, di rumah yang usang, ketika hujan mereka kebasahan, ketika
kemarau mereka kekeringan, kadang-kala ibu-bapa kita berada dalam
kelaparan dan keperitan akibat kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai
anak-anaknya yang berada di kota ini dalam kemewahan dan tidak merasa
itu semua. Kasih sayang kepada anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan
dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak
mengharapkan apa-apa balasan. Segala kesusahan dan penderitaan tidak
pernah dikongsi bersama dengan anak-anak.
Mimbar mengingati jemaah sekalian,
ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat,
kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa
mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan
pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu,
kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap
mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan
membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk
ayat 23-24:
Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah perintahkan,
supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah
engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan
dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya
sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah:
Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah
memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang
seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan
perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang dihati
seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat,
kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan
matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata
berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui
akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu
dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?. Cukupkah dengan
sekadar kita mengirim duit sebagai penganti diri bagi membayar setitis
air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak?. Ambillah kesempatan yang
ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih
mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan
luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika
kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita
lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki
gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu,
wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman
Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya:“Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan
susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua
ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :
Maksudnya:“Siapakah yang
paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang
itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu
bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya
kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)
Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.” Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.
Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa,
namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk
menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak
terhitung ini. Berdasarkan pemerhatian mimbar, ada anak-anak yang
sanggup membuang dan menyisih ibu-bapanya.Mereka ini sanggup
meninggalkan ibu-bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak
sanggup melayan kerenah ibu-bapa yang semakin tua. Laporan Jabatan
Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1857 orang ibu-bapa di
tempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang dari anak-anak.
Mereka ini merintih keseorangan dengan mengharap anak-anak sentiasa
mendampingi mereka.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam menganjurkan agar setiap anak
menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak
melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu-bapa,
maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar. Imam Bukhari meriwayatkan
bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang
dosa besar. Sabda Baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki
mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan
berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya.
Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu
memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki
hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun
ibunya.
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam
sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya
masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada
di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah.
Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di
sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’.Dari
sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk
melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya
anak-anak atau kaum kerabat mereka.
Roh sentiasa bertanya khabar kepada
jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga
mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit
dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu- bapa kita. Oleh
itu gembirakanlah roh ibu-bapa kita dengan amalan soleh semasa kita
masih hidup di duna ini. Roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita
jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar
seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang,
bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat
lain.
Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran
dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi
ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil
dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian
mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu
dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka
kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan
kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata :‘ Ya Allah
Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah
petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami
(sehingga kami mati dalam iman)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini,
mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang
terhadap ibu-bapa setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka
bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan
kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta
perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan
memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan
janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.
Perlu kita insafi bahawa ketidakredhaan
ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT.
Selama mana kita tidak diredhai oleh ibu-bapa, selama itu juga kita
hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT Ambillah
kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa
ayat 24:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah
dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka
telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan